Assalamualaikum,
Anak merupakan permata hati yang diidamkan oleh ibu bapa, terutama bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga. Apa yang penting bagi ibu bapa ialah mendidik anak agar berjaya membina masa depan yang gemilang.
Pendidikan anak bukan hanya semata-mata untuk kesenangan dunia tetapi juga adalah untuk kesejahteraan hidup di akhirat. Menjadi tanggungjawab semua ibu bapa untuk mendidik anak yang soleh selari dengan tuntutan agama. Antara pendidikan yang baik adalah daripada aspek pembentukan akhlak yang mulia.
Dalam pemdidikan anak, Allah SWT mengabadikan bagaimana kisah seorang bapa yang dikenali sebagai Luqman yang menjadi inspirasi kepada semua ibu bapa. Luqman seorang hamba yang soleh dikurniakan oleh Allah dengan ilmu pengetahuan dan hikmah kebijaksanaan.
Asas dalam kehidupan seorang anak yang soleh ialah beriman dan bertakwa kepada Allah. Keimana dan ketakwaan kepada Allah akan menjadi benteng daripada melakukan perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah SWT.
Antara amalan mulia yang wajib dan perlu diterapkan kepada anak-anak ialah :
- mengambil berat terhadap amalan solat
- menjauhi daripada melakukan perbuatan mungkar
- mempersiapkan diri dengan melakukan perkara baik
- dipupuk agar sentiasa menghiasi hidup dengan sifat sabar
Allah SWT menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud :
" Amalan taat kepada ibu bapa perlu dipupuk kepada anak-anak agar anak-anak membesar dalam kasih sayang ibu bapa yang berkekalan sampai akhir hayat"
Menyemai sifat mahmudah kepada anak bermula sejak awal lagi sehinggalah ke peringkat anak menjangkau remaja. Pada awal pertumbuhan, iaitu sejak berumur dua tahun anak-anak mula belajar melalui kata-kata yang baik. Kata baik dan berunsur kasih sayang perlu didedahkan kepada anak agar menjadi satu kebiasaan.
Mendedahkan anak-anak dengan kata-kata manis, bersalaman sesama keluarga secara tertib dan penuh hormat. Anak hendaklah dibiasakan denga sebutan nama Allah walaupun belum mengerti. Kita hendaklah memulakan makan dengan membaca " Bismillah" dan menyudahi makan dengan ucapan " Alhamdulillah".
Dalam tempoh pertumbuhan dua hingga enam tahun pula, merupakan peringkat menerima pengaruh tingkah laku dan emosi. Anak suka dimanjakan namun biarlah bertempat. Ibu bapa berperanan menunjukkan sifat terpuji, tidak bercakap kasar dan kotor, suka berkelahi, meremehkan dan menghina antara satu sama lain.
Anak merupakan aset penting kepada keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan dan membina masa depan anak agar menjadi seorang anak yang soleh dan cemerlang.
Rasulullah SAW menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud :
" Tiap-tiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan suci bersih, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menyebabkan dia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi"
(Hadis Riwayat at-Tabrani)
No comments:
Post a Comment