Yang Tinggalkan Jejak.......Terima Kasih.

Wednesday, June 15, 2011

Gerhana Bulan 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,




Pada 16 Jun ini, rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan gerhana bulan penuh dari jam 1:25 pagi hingga 7:01 pagi.

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama Bulan melintasi bayang Bumi.

''Gerhana pada awal pagi Khamis ini akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada jam 01:25 pagi waktu Malaysia. 

''Bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap,'' menurut kenyataan itu.
Gerhana yang jelas dapat dilihat semasa Bulan memasuki bayang umbra Bumi ( U1 ) mulai jam 02:23 pagi sehingga gerhana maksimum berlaku pada 04:13 pagi. 

Bulan akan mula keluar dari bayang umbra Bumi (U3) pada 05:03 pagi dan keluar sepenuhnya daripada bayang umbra Bumi (U4) pada 06:02 pagi.

Gerhana masih terus berlaku sehingga 07:01 pagi tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana Bulan berada di kawasan bayang penumbra Bumi yang kurang. 


Sementara itu, Angkasa dan Masjid Negara akan mengadakan program pencerapan gerhana bulan penuh pada hari berkenaan di perkarangan luar Masjid Negara bermula pukul 1 pagi.

Selain menyaksikan gerhana bulan penuh, orang ramai juga berpeluang untuk mencerap planet Musytari (Jupiter), Marikh (Mars) dan Zuhrah (Venus).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, sehubungan itu semua masjid dan surau disaran mengadakan solat sunat khusuf berserta khutbah gerhana.

"Ibadah sunat ini seharusnya dapat ditunaikan sebaik mungkin kerana fenomena ini jarang-jarang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Othman berkata, masjid-masjid utama seperti Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya akan menganjurkan solat sunat khusuf pada pukul 3 pagi.

Selain itu, aktiviti cerapan akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya dengan kerjasama agensi luar iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

p/s: maklumat dari www.utusan.com.my

No comments: