Yang Tinggalkan Jejak.......Terima Kasih.

Thursday, April 7, 2011

Nasib Si Anak Tiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pernahkah anda bertanya kepada anak kecil, siapakah yang paling mereka sayang?
Bagi seorang anak tiri pula, siapakah yang mereka paling sayang? Apakah yang mereka impikan? Adakah mereka bahagia?

menjadi anak yang disayangi oleh ibu dan ayah
Mungkin mereka sempat merasa bahagia hidup bersama ayah dan ibu kandung. Namun mereka kehilangan ibu tercinta semasa kecil dan  tidak mengerti lagi makna kehilangan. Belum pun sempat merasa kehangatan pelukan ibu sewaktu menidurkan anak kecilnya itu, si ibu pergi dan tidak kembali lagi. Jika itu yang dikehendaki oleh-Nya, maka begitulah jadinya.



Anak kecil yang bergantung kepada ayah selepas ketiadaan ibu mengharap kasih sayang ayah berpanjangan. Bagi si ayah yang kesunyian, jodoh pula datang bertandang. Mungkin dengan alasan anak masih kecil, masih perlukan kasih sayang seorang ibu, si ayah telah pun mencari pengganti. Di saat itu, anak kecil tadi menerima ibu tiri dalam hidupnya.  

Ibu tiri yang masih muda, berpangkat dara menjadi pilihan si ayah. Belum pun lama ibunya pergi, ayah sudah berkenan untuk beristeri lagi. Anak kecil hanya mampu melihat kebahagian ayahnya, senyuman si ayah sungguh bermakna. Mana tidaknya, isteri barunya, si dara yang muda belia, kecil-molek, bermata bulat, senyuman menggoda.

Anak kecil melihat mata si ibu tiri dengan penuh simpati. Ibu itu hanya membisu seribu bahasa, kaku, merasa janggal sekali dengan kehadiran anak kecil di sisinya. Selang beberapa bulan anak kecil menerima kehadiran seorang adik baru. Itulah adik tirinya. Belum pun puas anak kecil itu bermesra dengan si ibu tiri, datang pula si adik tiri. Kasih sayang ibu itu tertumpah kepada adik tiri, anak kecil tadi rasa tersisih.

ibu, mengapa kau terlalu cepat meninggalkan ku

Anak kecil telah membesar dan mula mencari kawan sebagai tempat mencurah rasa hati. Perubahan fizikal anak kecil itu nyata tidak mengembirakan datuk dan neneknya. Badan semakin kurus dan warna kulit yang dulunya agak cerah, bertukar menjadi agak gelap.

Kalau dulu, setiap petang ada sahaja kuih atau makanan yang terhidang. Sekarang, tiada lagi. Kalau dulu ibu sanggup berulang-alik menghantar anak kecil ke sekolah dan menjemput pulang. Sekarang, tiada lagi. Si ayah sanggup menggadaikan nyawa anak kecil dengan membelikannya sebuah basikal agar anak kecil itu boleh berulang-alik ke sekolah. Si ibu tiri tak sanggup menggalas tugas itu.

Tapi selepas kejadian si anak kecil itu dilanggar kereta ketika pulang dari sekolah dan datuk telah menberi kata dua kepada si ayah, anak kecil itu mula ke sekolah dengan menumpang kereta jiran. Itulah nasib si anak kecil yang hidup bersama ibu tiri. Di luaran nampak tiada apa, tetapi di hati sedang bergelora. Mungkin berdoa  dapat membantu agar anak kecil itu dilindungi dari di dera batinnya.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
      "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berDoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 186)

Wallahualam.



No comments: