Yang Tinggalkan Jejak.......Terima Kasih.

Monday, May 16, 2011

Cabaran Menjadi Guru

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Baru-baru ini aku ada menghadiri majlis Maulidur Rasul anjuran sebuah badan hal ehwal wanita. Seorang tahfiz yg mendapat pendidikan dari universiti di Acheh dijemput untuk memberikan ceramah. Seorang tahfiz yg berasal dari Taiping, Perak memberikan ceramah bercampur-campur bahasa utara membuatkan aku teringat pada cerita Mata Ayer di TV3.

Ustaz Muhammad James (mengikut nama pd kad bisnesnya) juga pernah bekerja di Jabatan Agama Johor. Beberapa kali dipanggil berceramah di kursus-kursus perkahwinan, ceramah di sekolah-sekolah dan adakalanya memberi ceramah kepada mereka yang hendak menunaikan umrah. 

Aku terpanggil untuk menulis mengenai peranan guru zaman sekarang setelah membaca satu artikel yang ditulis oleh bakal guru mengenai tanggungjawab guru yang semakin mencabar sekarang ini. Dipetik, bakal guru ini mengatakan permasalahan disiplin di kalangan pelajar telah menjadi perbahasan hangat oleh pelbagai pihak. Masalah disiplin  dan keruntuhan akhlak pelajar seperti vandalisme, membuli, pergaduhan, kegiatan samseng, kes memukul guru, kes membakar sekolah kerap berlaku sekarang ini. Malah ada guru yang disimbah asid dan ditampar oleh pelajar yang dianggap seperti anak sendiri itu.

Berbalik kepada ceramah tadi, sungguh terkejut apabila ustaz memberitahu 30% anak muda yang menghadiri ke kursus perkahwinan tidak tahu mengucap. Ada juga cikgu di sekolah-sekolah di mana ustaz memberi ceramah mengadu kepadanya, ada anak murid perempuan yang telah dan bakal melahirkan anak luar nikah. 

Mengapa masalah ini berlaku? Adakah semua ini timbul kerana kurangnya pendidikan agama yang mereka terima? Siapakah yang bertanggung jawab untuk memberikan pendidikan agama kepada generasi muda ini? Bayangkanlah generasi muda yang bakal menjadi ketua keluarga tidak ada asas agama. Bagaimana mereka hendak membimbing isteri dan anak-anak mereka serta melindungi keluarga mereka dari api neraka?

Firman Allah SWT, bermaksud :" Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka........" ( Surah at-Tahrim, ayat ke 6)

Adakah semua tanggungjawab itu mesti dipikul oleh insan yang bernama guru? Apa yang aku tahu pendidikan bermula dari rumah iaitu dari pendidikan ibu dan bapa. Seorang zuriat dilahirkan dalam keadaan tiada dosa dan putih bersih. Maka ibu bapalah yang mewarnai zuriat itu dengan corak pilihan mereka. Guru pula membimbing anak kita sehingga lulus dalam menjalani kehidupan menurut tuntutan zaman. Namun jika hati tidak terdidik dengan sempurna maka hati akan gelap. Hati yang gelap melahirkan insan yang kegelapan akidah, sesat dalam kegelapan akhlak sehingga menyebabkan kehidupan terumbang-ambing.

Rasulullah SAW merupakan contoh pemimpin paling hebat dalam sejarah dunia. Baginda mendidik para sahabat untuk membina ketabahan dan sentiasa memberi dorongan agar meneruskan usaha berdakwah. Walaupun kita manusia biasa tidak mungkin menjadi insan sesempurna Rasulullah SAW, kita  semestinya menjadikan Rasul sebagai contoh teladan. Pertuturan dan gerak laku baginda merupakan pedoman bagi umat manusia selain dari petunjuk dari Al-Quran dan Sunnah.

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Guru, tugasmu sememangnya semakin mencabar. Ingat pesanan Saidina Umar Al-Khattab r.a., " Didiklah anak mu mengikut zaman mereka." Selamat hari guru untuk semua pendidik di Malaysia dan seluruh dunia. Tidak lupa kepada para pendidik yang pernah mengajar aku di SK Seri Kg Tengah, Kluang, SK Bandar Easter, Kota Tinggi, SMK Bandar Easter, Kota Tinggi, Sek Tinggi Kluang dan tenaga pengajar Diploma Perakaunan ITM Caw. Segamat ( 1991-1994 )

2 comments:

A retarded kitty said...

hargailah jasa guru anda

hitammanis said...

alamak tertinggal; utk cikgu2 di STH jugak.....terima kasih cikgu!