Yang Tinggalkan Jejak.......Terima Kasih.

Hadis Ku

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Al-Quran dan Al-Sunnah menjadi pedoman kepada setiap Muslim dan Mukmin. Daripada kedua-duanya kita memperoleh pengetahuan dan penjelasan mengenai berbagai-bagai hukum dan adab syar'iyyah sebagai pedoman jalan untuk meraih  kebahagiaan akhirat.

Bismillahirrahmanirrahim.
" Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran."      (Surah Al-'Ashr)

Surah ini menerangkan bahawa manusia yang tidak menggunakan masa dgn sebaik-baiknya termasuk dalam golongan yang rugi. Maka isilah masa yang terluang dgn perkara-perkara yang baik.

* pendapat yg dinyatakan di sini dan seterusnya adalah pendapat peribadi, marilah kita berkongsi pandangan/hujah dgn komen2 anda sekalian.......jazakallah.

Rangkaian Hadis dan huraian ringkas:

 BERIMAN KEPADA ALLAH
26 Safar 1432H, Monday
Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata :
Rasulullah SAW bersabda:

"Sesunggguhnya Allah tidak akan melihat kepada tubuh badan kamu dan tidak pula kepada rupa bentuk kamu. Akan tetapi Dia akan melihat kepada keikhlasan hati kamu."

(Riwayat Muslim no. 2564)

" Don't judge a book by it's cover", secara ringkasnya janganlah kita menilai seseorang itu hanya melihat dari luarannya sahaja. Berhati-hati ketika hendak mendekati seseorang. Kawan memang penting bagi seseorang individu. Kawanlah tempat kita meluahkan segala cerita suka dan duka. Masalahnya adakah kita pasti kawan kita benar-benar jujur dan ikhlas dalam persahabatan.

Rupa paras bukan penentu kejujuran seseorang. Ada yang berkata, "dari mata turun ke hati" Keikhlasan itu boleh dilihat dari pandangan mata seseorang. Walaubagaimana pun, jangan mudah terpedaya. Ujilah kejujuran kawan kita itu dengan apa-apa saja yang kita fikir perlu. Pastikan kawan kita adalah tergolong dalam orang yang beriman seperti tidak pernah tinggal solat dan lain-lain perkara fardu 'ain.Wallahu'alam.

Wassalam.

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU
27 Safar 1432H, Tuesday

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : "Sesiapa yang menempuh perjalanan dengan tujuan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan permudahkan baginya jalan ke syurga."

( Riwayat Muslim no. 2699 )

Ingatkah pada pepatah Melayu; jauh perjalanan, banyak pengalaman. Begitu juga dengan kata-kata seperti menuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China. Apa yang saya ketahui, jika tak tepat tolong beri teguran, perjalanan seseorang untuk menuntut ilmu adalah fardhu kifayah. Guru pengajian saya ada memberitahu bahawa mengaji Al-Quran lengkap dengan tajwid adalah fardhu 'ain manakala perjalanan ke tempat pengajian adalah fardhu kifayah. Boleh difahami?

Secara mudahnya, menuntut ilmu adalah sesesuatu yang penting, mesti dan tiada titik noktah, tiada had umur untuk seseorang itu supaya berhenti daripada menuntut ilmu. Pergilah, carilah ilmu dan Allah telah menjanjikan jalan ke syurga bagi orang yang pergi menuntut ilmu.

Tidak perlu segan dan tidak semestinya di usia lanjut kita tidak boleh belajar daripada orang yang lebih muda. Ingat janji Allah! Wallahu'alam.

Wassalam.

ZIKIR KETIKA BERMUSAFIR
4 Rabi'ul Awwal 1432H, Monday

Setelah beberapa hari, hari ini barulah aku berkesempatan mencatat sesuatu yang berkaitan dengan perjalanan aku pergi dan balik dari kampung ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa r.a., beliau berkata:
Maksudnya:
"Ketika bermusafir bersama Nabi SAW, jika melaluinya, kami membaca tahlil dan bertakbir dengan suara yang cukup lantang. Nabi SAW lalu bersabda: ' Wahai sekalian manusia, janganlah kamu bersuara kuat (ketika berzikir/berdoa), kerana kamu tidak berdoa kepada Tuhan yang pekak dan jauh. Sesungguhnya Dia sentiasa bersama kamu dan sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha dekat.'"

Bermula pada hari Khamis hinggalah hari Ahad.....aku bersama keluarga telah bermusafir ke Kota Tinggi, kemudian ke Muar. Perjalanan pergi dan balik banyak menempuh halangan, walaupun halangan itu tidaklah sehebat atau seteruk mana pun. Kepayahan yang berlaku sebenarnya mengajar kita supaya lebih bersabar. Sebaik-baiknya kita digalakkan berzikir sepanjang perjalanan. Jangan lupa berdoa sebelum memulakan perjalanan agar perjalanan kita dilindungi oleh Allah Subhanahuwata'ala.

Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, berzikirlah dengan suara yang rendah. Tidak perlu terjerit-jerit, menunjuk-nunjuk kepada orang sekeliling..........tidak ikhlas tu namanya, ala kadar hanya kita sendiri yang mendengarnya. Sebagai ibu bapa, kita mesti menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak. Galakkan anak-anak berdoa dan berzikir supaya mereka lebih berdisiplin, bersopan dan berlemah lembut.

Memang tidak dinafikan adakalanya kita menghadapi masalah dengan anak-anak yang suka bergaduh sesama mereka di dalam kenderaan yang bergerak. Apa yang aku dan ayahnya selalu lakukan....beri nasihat. Kadang-kadang mereka dengar, kadang-kadang mereka tidak hiraukannya. Apa yang perlu kita buat jika itu yang berlaku? Bagi aku, aku hanya diam, malas nak layan......tunggu sampai destinasi dulu. Bila tiba di destinasi....aku akan beri nasihat lagi dan bertanya apa masalahnya. Adakalanya aku terpaksa bertegas juga, apa yang penting didikan diusia awal perlu dititikberatkan. Biar anak-anak menangis sekarang, daripada kita yang akan menangis menyesal di masa hadapan. Wallahu'alam.

Wassalam.


KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN
5 Rabi'ul Awwal 1432H, Tuesday

Muslim meriwayatkan daripada abu Hurairah r.a., beliau berkata:
Rasulullah SAW bersabda;
   
Maksudnya: :" Tidaklah satu kaum berkumpul disalah satu rumah Allah, lalu membaca kitab Allah dan mempelajarinya, melainkan akan turun ketenangan kepada mereka; mereka akan dilimpahi rahmat; mereka akan dinaungi para malaikat; dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya."

(Riwayat Muslum no. 38)

Jika mahukan ketenangan, bacalah ayat Al-quran walaupun sepotong ayat. Itulah antara nasihat rakanku apabila aku mengadu kepadanya mengenai masalah aku. Ketika itu aku masih belajar di ITMCJ. Aku rasa tertekan apabila tidak dapat tumpu pada pelajaran. Aku yang tidak pernah berjauhan dengan ibu bapa mudah rasa rendah diri dan adakalanya semangat untuk belajar hilang, mudah kecewa dan suka bermurung.

Kerana personaliti aku yang suka merendah diri itu, aku tidak ramai kawan; seorang dua dah memadai bagi aku. tapi kini aku sedar.......walaupun kita ramai kawan seramai mana pun; apabila hati tidak tenang kembalilah kepada Allah. Allah tempat kita memohon dan mengadu.......jangan mudah putus asa walau seberat mana pun masalah kita. sesungguhnya Allah Maha  Mendengar dan Maha Melihat.

Di kedewasaan ini aku masih mencari-cari ilmu dalam pembacaan Al-quran. Bermula dengan mendalami al-Iqra'.......belajar sebutan makhraj huruf hijaiyah yang ada 28 huruf, belajar tajwid walaupun aku dah belajar semasa zaman sekolah menengah dulu.......uh..banyak yang aku dah hampir lupa. Khatam Al-Quran dah berkali-kali tetapi aku masih tidak yakin dengan pembacaan aku. Dulu aku belajar sesama rakan, oleh itu aku terus mencari seorang guru yang bertauliah dalam bidang berkenaan walaupun aku sekarang ini dah hampir berumur 40 tahun.

Alhamdulillah, pada awal tahun 2010 aku berjumpa dengan seorang guru mengaji. Guru yang mengajar aku sekarang bernama Ustazah Keptiah binti Korti. Umurnya lebih kurang ibu aku. aku amat hormat kepadanya. Adakalanya aku ditegur apabila salah...aku tak kisah. Marahlah dan hukumlah jika perlu.....kerana aku dah tahu kenikmatan dan kelebihan membaca Al-Quran itu. Ya Allah, semoga kau panjangkan umurku, agar aku dapat mempelajari ilmu kitab-Mu, yang menjadi mukjizat kepada Nabi-Mu dan diturunkan untuk umat-Mu. Wallahu'alam.


Wassalam.


LARANGAN SALING MEMBENCI  DAN MENYAKITI SESAMA MUKMIN
6 Rabi'ul Awwal 1432H, Wednesday

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawaNabi SAW bersabda:

yang maksudnya: "Janganlah kamu saling membenci, saling hasad dengki, saling berpaling, dan saling memutuskan silaturrahim. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga hari."

(Riwayat Muslim no.2559 dan al-Bukhari no. 6065) 

Allah SWT berfirman dalan Surah al-Hujurat 49: 10 ;

Maksudnya: " Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara......."

Hadis Rasulullah SAW di atas menerangkan mengenai kepentingan menjaga hubungan silaturrahim sesama umat Islam. Di sini aku tidak akan mengulas panjang lebar kerana rasanya sebagai umat Islam kita sudah tahu apa kewajipan kita kepada umat Islam yang lain. Tanggungjawab ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT yang disebut di atas. Umat Islam adalah bersaudara, tidak kira apa bangsa, warna kulit atau apa bahasa pertuturannya. 

Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya, itulah perumpamaan untuk menjelaskan keprihatinan kita terhadap saudara seIslam kita, tidak kira di mana. Tidak perlu memandang jauh.......cuba lihat sekitar kita; siapakah jiran kita? Adakah kita kenal siapa jiran kita? Apatah lagi jika jiran kita juga beragama Islam, adakah kita telah menegur dan bertanya khabar mereka pada hari ini? Untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai adab berjiran, bolehlah baca buku Indahnya Hidup Bersyariat terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd, maklumat lanjut di www.telagabiru.net.my. Wallahu'alam.

Wassalam. 













BERSEDERHANA DALAM KETAATAN
14 Rabi'ul Awwal 1432H, Thursday

Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW , Baginda bersabda,

Maksudnya: "Sesungguhnya agama Islam itu mudah. Tidak ada seseorang yang memberatkan diri dalam melaksanakannya, melainkan dia akan menjadi beban baginya. Perelokkanlah kamu dalam mengerjakan ibadah dan berusahalah untuk selalu memperbetulkan dalam mengerjakannya. Sampaikanlah khabar gembira (dengan adanya pahala yang besar bagi mereka yang bersahaja dan berterusan dalam beribadah). Mintalah pertolongan (kepada Allah) dangan melakukan ibadah di pagi hari, petang hari, dan malam hari."


(Riwayat al-Bukhari no.39)

Bersederhanalah dalam melakukan ibadah. Sesuaikanlah amal ibadah kita  dgn bebanan kerja harian, waktu dan masa yang kita rasa perlu. Rasulullah SAW juga bersabda, " ....hendaklah kamu mengerjakan ketaatan sesuai dgn kemampuan kamu, kerana demi Allah, Allah tidak pernah bosan (dalam memberikan pahala) hingga kamu sendiri yg merasa bosan (dalam mengerjakan ketaatan). Ketaatan yg paling Allah sukai adalah yg dilakukan secara berterusan oleh org yg melakukannya." Sbagai seorg surirumah adakalanya aku merasakan lelah dgn tugas harian di rumah. Ah.....penatnya, letihnya...kekadang keluar dr mulutku.

Penat, letih menjadi alasan utk tidak berjaga malam utk bertahajjud.........aku rasa bersalah. Namun setelah aku membaca hadis Rasulullah SAW ini, aku rasa terubat. Bukan bermakna aku terus menerus mencari alasan tetapi menjadikan ia sebagai pengubat kpd keresahan hati. Sekiranya berkesempatan dan tidak merasa letih pasti ada ruang utkku bermunajat dan bertahajjud. Aku sentiasa berdoa agar segala amal ibadahku diterima-Nya dan aku juga berdoa agar aku dpt melakukan ibadah secara berterusan. Itulah yg penting! Amalan yg berterusan..........bukan hangat-hangat tahi ayam. Wallahu'alam.

Wassalam.


MEMELIHARA SUNNAH
16 Rabi'ul Awwal 1432H, Saturday

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda :
Maksudnya:
                      " Tinggalkanlah apa-apa yg tidak aku perintahkan/larang bagi kamu. Sesungguhnya penyebab binasanya umat sebelum kamu adalah mereka banyak bertanya dan banyak bercanggah pendapat dgn nabi-nabi mereka. Oleh itu, jika aku melarang sesuatu daripada kamu, maka tinggalkanlah; dan jika aku memerintahkan sesuatu kepada kamu, maka kerjakanlah sesuai kemampuan kamu."

(Riwayat al-Bukhari no. 7288 dan Muslim no. 131)

Rasulullah SAW adalah pembina modal insan terunggul. Dinyatakan di dalam Surah Al-Ahzab 33: 21, maksudnya ;
                   " Dan sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu terdapat contoh teladan yg baik bagi kamu (iaitu) bagi org yg sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (takut akan azab) hari Kiamat dan banyak mengingati Allah....."

Semua yg dilakukan oeh Rasulullah SAW menjadi contoh yg terbaik utk kita umat Islam seluruh dunia. Tidak kira mazhab mana pun iaitu selagi kita tidak terkeluar dr mengikuti Al-Quran dan Sunnah, sesungguhnya kita masuk dlm golongan yg mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Jika berlaku sebarang salah faham tentang sesuatu, kita hendaklah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Org yg beriman dan takut akan azab hari Kiamat  sentiasa memelihara Sunnah agar hidup diberkati Allah kerana Rasulullah adalah kekasih Allah. Kita juga patut tanamkan sifat mengagungkan Nabi SAW kepada anak-anak kecil, cintai Nabi kita, lahirnya Rasulullah membawa cahaya.........InsyaAllah, bila dewasa anak-anak kita akan mempunyai pegangan dan iman yg kukuh.

Kita tidak tahu apa yg akan berlaku pada tahun-tahun yg datang. Di zaman anak-anak kita membesar sekarang ini, telah banyak berlaku kejadian yg cukup membuatkan kita gusar dan bimbang. Apakah anak-anak kita berjaya mengharungi  lautan dunia global yg penuh dgn penipuan, jenayah kemanusiaan, perkosaan.......ah, tak sanggup utk aku senaraikan.

Bekalan yg cukup kuat iaitu kekuatan dalaman amat perlu. Apabila kita tiada di dunia nanti zuriat inilah yg akan meneruskan perjuangan kita. Istiqamahlah dgn Al-Quran dan Sunnah.............Wallahu'alam.

Wassalam.


TAWAKAL
15 Rabi'ul Akhir 1432H

Setelah berusaha bersungguh-sungguh, kita mesti yakin bahawa Allah akan membantu. Dengan erti kata yang lain, bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyintai orang yang bertawakal.

Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW membaca doa berikut :
Maksudnya ;
                    " Ya, Allah hanya kepada Engkaulah aku berserah diri, beriman, bertawakal, bertaubat, dan mengadu. Ya, Allah aku berlindung dengan keperkasaan-Mu, zat yang tiada Tuhan melainkan Engkau; aku memohon agar Engkau tidak membiarkan aku sesat. Engkaulah zat Yang Maha Hidup dan tidak pernah mati, sedangkan semua jin dan manusia pasti mengalami kematian."

(Riwayat Muslim no. 2717)
        
Wahai teman-temanku sekelian, marilah kita menyemak dan menyelak kembali lipatan sejarah hidup kita. Pernahkah kita berdoa seperti mana doa Rasulullah SAW di atas? Baginda adalah orang yang telah dijanjikan syurga oleh Allah tetapi begitu merendah diri ketika berdoa.

Baginda merupakan idola setiap umat Islam. Segala amal perbuatannya menjadi ikutan dan contoh teladan. Sekarang ini ada segelintir manusia terlalu asyik dengan hiburan dunia dan rancangan realiti yang sibuk mencari idola; sedangkan umat Islam sudah pun mempunyai idola mereka. Pada aku, berpada-padalah dalam membuat sesuatu perkara.

Tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi mesti kita jalankan dengan apa cara sekali pun. Ingat! Jangan mudah terpengaruh dengan bisikan yang mengkhayalkan. Amalkan doa Rasulullah SAW di atas. InsyaAllah, Allah akan pelihara keimanan kita. Semoga kita berjaya dalam perjuangan kita. Wallahu'alam.

No comments: